#Dadah punca utama abai keluarga!!

  • Gambar sekadar hiasan.Gambar sekadar hiasan.
 1 / 1 
KUALA TERENGGANU - “Sebab dadah, keluarga saya terumbang ambing, tetapi sekarang saya mula sedar masalah ini perlu ditamatkan dan lari dari dunia hitam ini."

Demikian pengakuan seorang bekas penagih yang hanya mahu dikenal sebagai Zamri, 41, dari Marang.

Zamri mula mengambil dadah ketika berusia 24 tahun apabila diajak rakan sekerjanya di Kuala Lumpur untuk mencuba bahan terlarang itu.

“Mulanya saya ambil ganja kemudian berubah kepada ubat batuk dan heroin. Masa mula-mula dulu hanya belanja RM10 sehari untuk beli dadah, tetapi lama-kelamaan apabila seronok dengan dunia khayal dan mula ketagih, saya sanggup belanja RM200 setiap hari.

“Walaupun ketika itu saya baru sahaja mendapat anak pertama, saya abaikan mereka kerana pengaruh dadah sudah menguasai diri saya dan saya lebih pentingkan diri sendiri daripada anak dan isteri,” katanya.

Zamri berkata demikian ketika ditemui pada Program Sempurnakan Aku ‘Success Story’ anjuran Agensi Antidadah Kebangsaan Terengganu (AADK) di Bangunan Umno Bahagian Kuala Terengganu, di sini.

Hadir sama, Pengarah AADK negeri, Rohayu Ahmad dan Pegawai Pembangunan Parlimen Kuala Terengganu merangkap Ketua Umno Bahagian Kuala Terengganu, Datuk Mohd Sabri Alwi.

Menurut Zamri yang bekerja di bahagian pendawaian di sebuah syarikat swasta, dia mula meminta gajinya dibayar mengikut hari supaya mudah untuk dia membeli dadah.

“Lama-kelamaan masalah ketagih saya semakin teruk sehinggakan duit gaji tidak cukup dan memilih jalan mudah dengan mencuri besi buruk serta kabel di tempat saya bekerja,” katanya.

Zamri bagaimanapun bernasib baik kerana majikannya tidak dapat menghidu kegiatannya yang mencuri barang syarikat.

Namun dia tewas di tangan pihak berkuasa empat tahun lalu dan mula insaf apabila dimasukkan ke pusat pemulihan di Marang.

“Ketika berada di pusat pemulihan, naluri sebagai seorang bapa mula timbul dan sentiasa memikirkan layanan buruk saya kepada anak dan isteri.

“Saya mula kesian kepada anak yang tidak mendapat kasih sayang secukupnya daripada seorang bapa dan pengorbanan isteri sentiasa sabar dengan sikap saya ketika ketagih dadah,” katanya.

Sementara itu, dia turut menasihati bekas penagih supaya tidak segan atau berasa rendah diri apabila berhadapan dengan masyarakat, tetapi perlu bangkit dan buktikan pada mereka bahawa kita sudah berubah selain memberi sumbangan kepada orang ramai.

No comments