DIROMPAK KETIKA KERETA ROSAK DI TEPI JALAN-SETIU

Mangsa dirompak selepas kereta Toyota Avanza rosak di Penarik Setiu.-Gambar hiasan
Nasib sebuah keluarga dari Kuala Terengganu ibarat sudah jatuh ditimpa tangga, apabila bukan sahaja kereta mengalami kerosakan, tetapi turut disamun oleh penjenayah.

Kejadian berlaku di tepi jalan Kampung Telaga Putat dekat Penarik, di sini, kelmarin.

Dalam kejadian jam 10 pagi itu, seorang lelaki yang meninggalkan isteri dan dua anaknya di tepi jalan untuk mendapatkan bantuan, disamun dua lelaki bersenjatakan parang menyebabkan kerugian kira-kira RM10,000.

Ketua Polis Daerah Setiu, Deputi Superintendan Ab Rahman Raja Mohamed berkata, kejadian berlaku ketika mangsa berusia 50 tahun, bersama isterinya, 44, dan anak perempuannya berusia 14 dan 24 tahun, dalam perjalanan pulang ke Kuala Terengganu selepas menghantar seorang anak mereka yang bekerja di sebuah pusat kesihatan di Tembila, Besut.

Menurutnya, sampai di tempat kejadian, kereta Toyota Avanza dinaiki empat beranak itu mengalami kerosakan akibat kekeringan air, menyebabkan mangsa memberhentikan kereta di tepi jalan.

“Lelaki berkenaan ke kawasan berdekatan untuk mendapatkan bantuan dengan meninggalkan isteri dan dua anaknya.

“Ketika ditinggalkan, tiga beranak itu didatangi sebuah kereta Perodua Myvi berwarna putih dinaiki dua lelaki yang turun dengan bersenjatakan parang,” katanya.

Ab Rahman berkata, suspek telah mengacukan parang kepada isteri mangsa sambil mengarahkan mereka menyerahkan semua barang berharga seperti barangan kemas dan telefon bimbit milik semua mangsa.

Menurutnya, bimbang diapa-apakan, mangsa mengikut segala arahan suspek dengan menyerahkan semua barang berharga sebelum kedua-dua penjenayah tersebut melarikan diri.

“Lelaki itu yang tiba di tempat kejadian terkejut apabila mendapati isteri dan dua anaknya dalam keadaan ketakutan sebelum ke Balai Polis Penarik untuk membuat laporan,” katanya.

Beliau berkata, polis sedang menjalankan siasatan lanjut untuk mengesan suspek dan kes disiasat mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan kerana merompak secara berkumpulan.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu diminta tampil ke balai berhampiran bagi membantu siasatan,” katanya.-SINAR HARIAN

No comments