#Lagi-lagi kes cabul!!



KUALA TERENGGANU - Seorang buruh dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, semalam, atas dakwaan mencabul kehormatan anak kandungnya yang baru berusia empat tahun pada Mei lalu.

Bagaimanapun, lelaki yang berusia 40 tahun dan berasal dari Ajil, Hulu Terengganu itu mengaku tidak bersalah serta mohon dibicarakan atas dakwaan mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan.

Berdasarkan pertuduhan, bapa kepada tiga anak itu didakwa telah menggunakan kekerasan jenayah kepada mangsa dengan niat untuk mencabul kehormatannya di antara lebih kurang jam 10.40 pagi pada 9 Mei hingga kira-kira jam 6.20 petang 10 Mei lalu di kediamannya di Ajil, Hulu Terengganu.

Dengan itu, dia didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau sebat atau mana-mana dua daripada seksaan berkenaan, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nurliyana R Azmi di hadapan Majistret Noradila Ab Latif, manakala lelaki tersebut tidak diwakili peguam.

Sejurus pengakuan tidak bersalah direkodkan, Noradila menetapkan 13 Ogos ini sebagai tarikh sebutan semula kes untuk lantikan peguam dan serahan dokumen di Mahkamah Majistret Kuala Berang, serta membenarkan dia diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin.

Mangsa merupakan anak bongsu daripada tiga beradik hasil perkahwinan lelaki tersebut dengan bekas isterinya.

Difahamkan, pasangan suami isteri itu bercerai kira-kira dua tahun lalu dan sepanjang tempoh penceraian, lelaki tersebut mendapat hak lawatan serta bermalam dengan ketiga-tiga anaknya termasuk mangsa, sebanyak dua kali sebulan daripada mahkamah.

No comments