Pas Tidak Setuju Padar Payang Ala Dubai?


MARANG – Pas Terengganu mendakwa rakyat menolak pembangunan semula Pasar Besar Kedai Payang ‘ala Dubai’ dicadangkan kerajaan BN di bawah pimpinan bekas Menteri Besar (MB), Datuk Seri Ahmad Said.

Timbalan Pesuruhjaya 1 Pas Terengganu, Dr Alias Razak berkata, semua kumpulan bengkel yang menghadiri perbincangan anjuran Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) bersetuju agar pasar tersebut mengekalkan ciri Melayu Islam Terengganu.

Justeru, Alias yang juga Adun Bukit Tunggal menggesa MB baharu, Datuk Ahmad Razif agar menerima pakai cadangan peserta bengkel berkenaan dalam melaksanakan pembangunan pasar tersebut.

“Menariknya, semua (peserta) bengkel menolak pembangunan ‘ala -Dubai’ Pasar Besar Kedai Payang yang menggabungkan pembangunan hotel dan pangsapuri, sekali dengan pasar seperti dicadangkan kerajaan Umno-BN di bawah pimpinan (bekas MB) Datuk Seri Ahmad Said.

“Menteri Besar perlu ambil kira keputusan yang dibuat peserta terdiri daripada pelbagai kelompok rakyat termasuk Dewan Perniagaan Cina, usahawan Melayu, NGO, pelancong, ahli politik dan sebagainya,” katanya dalam sidang media di Dewan Tok Guru di Rusila, di sini.

Terdahulu, MBKT menganjurkan bengkel pembangunan Pasar Besar Kedai Payang pada 18 Jun lalu di sebuah hotel di Kuala Ibai, Kuala Terengganu.

Sebanyak lima kumpulan membentangkan rumusan masing-masing dan bersetuju agar Pasar Besar Kedai Payang dinaikkan taraf, tetapi menolak pembangunan yang menjadikan ia sebagai ‘pasar raya’ seperti dicadangkan kerajaan negeri sebelum ini.

Empat wakil dari Pas yang menyumbangkan idea dalam bengkel itu ialah Dr Alias; Pesuruhjaya 2 Pas Terengganu, Yahaya Ali; Ketua Penerangan Pas Terengganu, Mohd Nor Hamzah dan Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Raja Kamarul Bahrin. Turut sama, Ahmad Amzad Hashim mewakili NGO Gerakan Anak Terengganu Insaf (Ganti). - Sinar

No comments