Terengganu kuasai acara kanu, berjaya pecah dua rekod kebangsaan


Atlet Kanu Terengganu meraikan kemenangan selepas berjaya meraih pingat emas bagi kategori K4 200 meter Wanita pada Sukma ke-17 di Kompleks Sukan Air Perlis, Tasik Timah Tasoh di Padang Besar.
MENEPATI ramalan, pasukan kanu Terengganu muncul juara keseluruhan acara kanu pada Sukan Malaysia (Sukma) ke-17 di Kompleks Sukan Air Perlis, Tasik Timah Tasoh.
Pasukan dari Pantai Timur itu meraih 14 pingat emas dan lima pingat perak keseluruhan iaitu melepasi rekod Sukma Kuala Lumpur 2011 dengan pencapaian 11 pingat emas.

PENYOKONG Terengganu bersorak gembira meraikan kejayaan merangkul 14 pingat emas dalam acara kanu di Tasik Timah Tasoh, Padang Besar semalam.
Atlet Terengganu turut memperbaharui dua rekod kebangsaan sepanjang tiga hari temasya berlangsung.
Jurulatih kanu Terengganu, Muhammad Hakimi Jamaluddin berkata beliau bangga dengan pencapaian dan  komitmen yang diberikan oleh atlet negeri itu.
“Kebanyakan atlet kanu Terengganu pertama kali menyertai temasya Sukma. Saya bangga kerana mereka berjaya melepasi sasaran yang diletakkan (lapan emas).

Puteri Kanu kebanggaan Terengganu, Nor Azita Ibrahim. 7 acara disertai semuanya menghasilkan pingat Emas.
“Masa depan atlet kanu kami sangat cerah. Selepas ini atlet perlu lebih berkerja keras lagi untuk temasya akan datang,” katanya kepada pemberita.
Pada acara terakhir hari ini Terengganu meraih lima lagi pingat emas menerusi acara 200 meter K1 wanita menerusi Nor Azita Ibrahim, TK1 wanita (Fatimah Ngah), K2 lelaki (Ahmad Shafiq Moha dan Muhammad Uweis Arqroni Rahmat) dan wanita serta K2 wanita (Nor Azita Ibrahim/ Noor Azira Ibrahim).
Terenganu melengkapkan pingat emas kelima pada aksi penutup itu menerusi gandingan Akmal Idayu Mat  Razik, Fatin Ajeerah Wahab, Azita dan Azira dalam acara K4 wanita. – Bernama

NATAHSYA (kiri) dan Ahmad Syazrin merangkul pingat emas dalam acara berbasikal menerusi kategori Downhill wanita dan lelaki di Pauh Putra, Ulu Pauh semalam.
Sementara itu, dalam saingan berbasikal Downhill 1.5km lelaki pula menyaksikan pelumba Terengganu, Ahmad Syazrin Awang Ilah meraih pingat emas dengan merakamkan masa terpantas 1:43.717s.
Pingat perak pula disandang Md. Hafiz Danial Md. Shahrulnizam dari Pahang dengan catatan masa 1:45.419s manakala pingat gangsa pula menjadi milik wakil Selangor, Muhammad Raudhatul Razman Abdul Razak yang merekodkan 1:46.122s.
“Pingat emas ini saya tujukan kepada ibu bapa, jurulatih serta rakan-rakan yang sentiasa memberikan sokongan padu kepada saya,” katanya.-kosmo

No comments