3 Beranak Mati Kereta Menjunam Kedalam sungai

  • Mayat seorang mangsa dibawa keluar oleh orang ramai.Mayat seorang mangsa dibawa keluar oleh orang ramai.
 1 / 1 
TANAH MERAH - Lima beradik hilang tempat bergantung selepas ibu mereka maut dalam kemalangan jalan raya di Kilometer 70.5, Jalan Kota Bharu-Machang-Jeli, dekat Kampung Panglima Bayu, di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 12.40 tengah hari, ibu kepada lima beradik itu, Nor Suzilawati Hussin, 39, mati lemas selepas kereta dipandunya terbabas sebelum terjunam ke dalam sungai.

Insiden di Sungai Rotan Tawar itu turut mengorbankan dua anak Nor Suzilawati, Iqbal Hariz Putra Ubaidullah, 5, dan Irfan Azmi Qayyum, 12.

Nor Suzilawati yang bekerja sebagai pembekal barangan runcit dan Iqbal Hariz Putra disahkan meninggal dunia di Klinik Kesihatan Batu Gajah, manakala Irfan Azmi Qayyum meninggal dunia di Hospital Tanah Merah jam 1.35 petang.

Menurut anak sulung mangsa, Ikhwan Hanif, 17, kejadian berlaku ketika ibunya dipercayai dalam perjalanan menghantar barang jualan ke kedai runcit sekitar Kampung Panglima Bayu.

“Saya tahu mengenai kejadian menimpa Umi (Nor Suzilawati) selepas dimaklumkan seorang rakan ketika berada dalam kelas,” katanya yang belajar di Sekolah Menengah Vokasional Tanah Merah.

Menurut Ikhwan Hanif, kali terakhir dia berjumpa ibunya ketika bersahur di rumah mereka di Jalan Mahsuri, Kampung Padang Siam, dekat sini, awal pagi semalam.

“Umi tidak menunjukkan sebarang perubahan cuma sejak beberapa hari lalu, dia mudah naik marah dengan kami adik-beradik,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Deputi Superintendan Abdul Aziz Mahmud mengesahkan kejadian dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Katanya, siasatan awal mendapati, kejadian berlaku ketika Nor Suzilawati yang memandu kereta Proton Knight bersama dua anaknya dari arah Tanah Merah ke Jeli.
“Apabila sampai di tempat kejadian, kereta dinaiki mangsa dipercayai terbabas ke sebelah kiri jalan sebelum terjatuh ke dalam sungai,” katanya

No comments