KEMALANGAN MAUT DIMARANG RAGUT 2 NYAWA!

KEADAAN kereta Proton Iswara yang terbabit kemalangan.
Pemandu kereta PROTON Iswara, Badrulhisham Bakar, 39, belum tahu isterinya maut dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Kilometer 21.5 Jalan Kuala Terengganu-Kuantan, malam kelmarin. Isterinya, Zuraiha Zainal Abidin, 31, dan penunggang motosikal, Le Ngoc Toan, 30, seorang warga Vietnam terbunuh dalam kemalangan membabitkan PROTON Iswara, Mercedes-Benz dan motosikal pada jam 9.20 malam.
Ibu saudara Zuraiha, Rosmaliza Kadir, 41, berkata dia tidak sampai hati memberitahu berita buruk itu kepada Badrulhisham kerana dia masih trauma dan kebingungan. “Dia asyik bertanyakan saya mengenai keadaan isterinya tetapi saya cuba mengelak,” katanya. Badrulhisham yang patah kaki kiri dan seorang anaknya, Muhammad Adam Muamzar, berumur enam tahun, yang cedera di kepala masih dirawat di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Kuala Terengganu.
Tiga lagi anaknya, Muhammad Adam Wazif, 8; Nur Nia Dzaira, 4, dan Qaseh Eva Qaizara, berumur setahun, cedera ringan dan menerima rawatan di HSNZ. Rosmaliza berkata, sebelum kejadian arwah yang tinggal di Pasir Mas, Kelantan, dikatakan dalam perjalanan ke rumah iparnya di Kampung Santong, Paka, Dungun, dengan menaiki PROTON Iswara dipandu suami bersama empat anaknya.
Keadaan dua kereta yang terbabit dalam kemalangan tiga buah kenderaan di Kilometer 21.5 Jalan Kuala Terengganu-Kuantan, malam kelmarin.
“Arwah bertolak dari Pasir Mas pada jam 3 petang dan berbuka puasa bersama keluarga di pantai Batu Buruk sebelum meneruskan perjalanan ke Paka,” katanya. Rosmaliza berkata, kali terakhir dia bertemu arwah pada awal Jun lalu ketika pulang ke rumah keluarga di Kampung Durian Hijau, Kok Lanas, Kota Bharu, Kelantan. Tiada perubahan pelik “Arwah tidak menunjukkan sebarang perubahan pelik tetapi ceria apabila bercerita mengenai persiapan menyambut hari raya,” katanya.
Sementara itu, penumpang kereta Mercedes, bekas pengarah Universiti Teknologi MARA (UiTM) Dungun, Tengku Yusof Tengku Mahmud cedera di kepala dan dikejarkan ke hospital untuk rawatan lanjut. Kereta yang dipandu adiknya, Tengku Nasruddin, 41, dan turut dinaiki Penolong Pendaftar UiTM Dungun, Mohd Nasrul Nizam Mohd Nasir, 33, dalam perjalanan dari Dungun bertemu rakan abangnya di Kuala Terengganu. Ketua Polis Daerah Marang, Deputi Superintendan Risikin Satiman, mengesahkan kejadian dan berkata, mayat kedua-dua mangsa dihantar ke HSNZ untuk bedah siasat, manakala semua mangsa yang cedera turut menerima rawatan di hospital sama.-BERITA HARIAN

No comments