Najib Lawat Terengganu Hari Ini

Perdana Menteri, Dato’ Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak tiba di Lapangan Terbang Sultan Mahmud (LTSM), Kuala Terengganu dengan pesawat khas pada kira-kira pukul 2.45 petang tadi untuk lawatan kerja sehari ke Terengganu.
Ketibaan Najib dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor disambut Menteri Besar, Dato’ Ahmad Razif Abd Rahman berserta isteri, To’ Puan Halina Zakaria; Menteri Pendidikan II, Dato’ Seri Idris Jusoh; Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Dato’ Jailani Johari serta pemimpin parti Barisan Nasional negeri.
Program ini merupakan lawatan pertama Perdana Menteri selepas perlantikan Ahmad Razif sebagai Menteri Besar Terengganu ke-14, Mei lalu.
Sejurus tiba, Najib dijadualkan menyertai Taklimat Pembangunan Negeri Terengganu di pusat pentadbiran kerajaan negeri di Tingkat 17, Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu.
Selepas itu, Perdana Menteri akan menyempurnakan majlis pengagihan kurma, air zam-zam dan kain Baju Melayu sumbangan Biro Kebajikan UMNO Malaysia kepada kakitangan dan agensi kerajaan di Dataran Wisma Darul Iman pada pukul 4.30 petang.
Kemudian, Najib dan isteri akan menyertai Majlis Berbuka Puasa Negeri Terengganu dan Rahmat Ramadan Felda Peringkat Kebangsaan 2014 di Kompleks Pejabat Felda Wilayah Terengganu di Tepuh pada pukul 6 petang.
Selepas solat Maghrib, beliau bertolak ke Masjid Al-Abrar di Bukit Tok Beng, Kuala Terengganu untuk solat Isyak, Terawih dan moreh bersama masyarakat kawasan berkenaan.
Perdana Menteri dan isteri dijangka berangkat pulang ke Kuala Lumpur pada pukul 10.15 malam.
terengganutimes.com

No comments