Pekerja Salun Dibelasan Teruk Di Kuala Terengganu

Pekerja salun dibelasah selepas suspek mendakwa difitnah.-Gambar Hiasan
Seorang pekerja salun rambut bukan saja menanggung kesakitan apabila dibelasah tanpa sebab, tetapi turut menanggung malu apabila aksinya dipukul dirakam dalam kejadian berhampiran sebuah salun rambut di Jalan Sultan Sulaiman, di sini, Khamis lalu.
Menurut sumber, kejadian dipercayai berlaku jam 12.30 tengah hari ketika remaja perempuan berusia 17 tahun berada di tempat kerjanya sebelum didatangi seorang perempuan yang memanggilnya supaya mengikutinya ke sebuah lorong kecil berhampiran kedai mangsa.
Katanya, mangsa yang tidak mengesyaki apa-apa akur dengan arahan wanita terbabit dan sebaik sampai di lokasi yang dimaksudnya, wanita terbabit menuduh mangsa menfitnahnya.
“Terkejut dengan tuduhan itu, mangsa menafikan dakwaan itu dan tindakan itu menyebabkan suspek naik angin sebelum memukul mangsa menggunakan topi keledar.
“Belum sempat mangsa berbuat apa-apa, seorang lagi rakan suspek muncul sebelum tiba-tiba menyepak dan memukul mangsa beberapa kali,” katanya.
Sumber berkata, selain dibelasah, mangsa mendakwa seorang lagi rakan suspek turut merakam aksi dia dibelasah tanpa menghiraukan rayuan mangsa yang minta dilepaskan.
Katanya, selepas puas membelasah mangsa, semua suspek beredar meninggalkan mangsa yang sedang kesakitan.
“Sebelum beredar, suspek turut mengugut akan memukul mangsa lagi sambil mengingatkan perkara itu belum selesai lagi menyebabkan mangsa ketakutan,” katanya.
Susulan kejadian itu, mangsa yang bimbang keselamatannya membuat laporan di Balai Polis Kuala Terengganu untuk tindakan lanjut.
Difahamkan, lima suspek berusia 18 hingga 30-an yang dipercayai terbabit dalam kejadian itu ditahan polis beberapa jam selepas laporan dibuat bagi membantu siasatan.-HARIAN METRO

No comments