Peneroka Seludup Mercun Di Tahan Polis Dungun

Ahmad Zailani (kanan) menunjukkan sebahagian mercun yang dirampas daripada pengedar di Ketengah Jaya, Dungun.
Tindakan seorang peneroka yang cuba membekalkan mercun untuk mendapatkan duit lebih sempena Aidilfitri tidak lama lagi, tidak kesampaian apabila usahanya itu digagalkan pihak polis.

Suspek yang berusia 51 tahun dari Felda Kerteh Empat dan pernah ditangkap kerana mengedar mercun sebelum ini, ditahan sekali lagi bersama dua lagi rakannya yang juga lelaki warga Indonesia berusia 30 dan 34 tahun, ketika cuba membawa mercun ke beberapa lokasi di daerah ini.

Cubaannya untuk mengedar mercun itu gagal selepas polis mendapat maklumat kenderaan dinaiki suspek berada dalam keadaan mencurigakan ketika melalui sebatang jalan kira-kira jam 11 malam di Ketengah Jaya, di sini.

Hasil pemeriksaan lanjut dalam kenderaan pelbagai guna Naza Ria milik suspek, pelbagai jenis mercun ditemui termasuklah empat bungkus mercun ketupat, 14 kotak Happy Bom, enam kotak Sparkler, 300 kotak Happy Boom dan 20 bungkus mercun bola.

Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Ahmad Zailani Yaacub dalam satu sidang media berkata, rampasan itu adalah kali kedua sepanjang Ramadan ini dengan nilai dianggarkan kira-kira RM2,000.

“Rampasan ini adalah yang terbesar setakat ini dalam bulan Ramadan. Kita percaya mercun ini akan diedarkan di sekitar Dungun termasuk Paka,” katanya.

Suspek kini ditahan reman untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957.-SINAR HARIAN

No comments