Nenek Tua Mati Dibunuh Dengan Kejam?


ANGGOTA polis mengusung mayat mangsa di Kampung Sura Hujung,Dungun.
Seorang wanita warga emas ditemui mati dengan kedua-dua belah tangan dan kakinya terikat di dalam ruang tamu rumahnya di Kampung Sura Hujung, di sini hari ini.
Mangsa, Mariam Kassim, 86, yang tinggal berseorangan ditemui anggota keluarganya dalam keadaan tertiarap di atas kerusi dalam rumahnya.
Kejadian itu disedari menantunya, Zakiah Zainal, 59, kira-kira 12 tengah hari tadi selepas berasa hairan kedai runcit milik mangsa masih tidak beroperasi seperti biasa.
Bercakap kepada pemberita, Zakiah berkata kira-kira 7 pagi selepas selesai menghantar anaknya ke sekolah, beliau melihat kedai ibu mentuanya itu masih tidak dibuka.
Katanya, beliau cuba mengintai dari celah dinding namun tidak melihat kelibat mangsa lantas menyangkakan ibu mentuanya itu berada di dapur sebelum keluar melakukan urusan di Bandar Dungun.
ANGGOTA polis menyiasat rumah mangsa di Kampung Sura Hujung, Dungun. -Gambar Harian Metro
Mariam ditemui mati dalam keadaan tangan dan kaki terikat di rumah ini yang turut dijadikan kedai runcit. – Gambar Sinar Harian
“Namun selepas pulang ke rumah kira-kira 12 tengah hari tadi, saya lihat kedai masih belum dibuka dan sekali lagi saya ke rumah mangsa sebelum melihat pintu dapur rumahnya terbuka.
“Saya terus masuk ke rumah mangsa dan melihat mangsa dalam keadaan tertiarap di atas kerusi ruang tamu dengan kedua-dua belah tangan dan kakinya terikat,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dungun Supt Ahmad Zailani Yaacub ketika dihubungi mengesahkan kejadian dan enggan memberi komen sama ada mangsa mati dibunuh atau sebaliknya kerana kes itu sedang disiasat.
Mayat mangsa dihantar ke Hospital Dungun untuk dibedah siasat.

No comments