Kru CB204 kelaparan – Panglima TLDM

Model bot tempur CB204 yang sudah ditemui.
Panglima Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Tan Sri Abdul Aziz Jaafar mengesahkan bahawa semua anak kapal bot tempur CB204 yang hilang pagi semalam berada dalam keadaan selamat.
“Komander bot, Leftenan Azri Bakar memaklumkan kepada KD Ganas melalui radio VHF CH 16, bot dan semua warga selamat tetapi kelaparan. Alhamdulillah,” katanya menerusi Twitter beliau, sebentar tadi.
Beliau berkata, krew bot tempur berkenaan akan dipindahkan ke KD Lekiu untuk dibawa pulang ke Pangkalan TLDM, Kota Kinabalu.
Operasi membawa keluar krew dijangka mengambil masa 23 jam, tambahnya.
Status di laman Twitter yang dimuatnaik oleh Panglima TLDM.
Kawasan pencarian bot tempur CB204.
Terdahulu, Abdul Aziz berkata KD Ganas menerima signal dipercayai daripada CB204 di kawasan Sinar Sakti di perairan pantai barat Sabah pada jam 3 petang tadi.
Semalam, bot tempur jenis CB90 yang dinaiki tujuh anggota TLDM hilang di perairan Pulau Mengalum.
Bot tempur itu, yang diketuai Leftenan Azri Bakar, terputus hubungan dengan kapal pengiring KD Paus semasa dalam perjalanan ke Stesen LIMA TLDM di Terumbu Layang-Layang, Sabah.
Dalam kenyataannya malam tadi, Abdul Aziz berkata bot tempur itu belayar dari Pangkalan TLDM Kota Kinabalu pada 5 pagi semalam sebelum terputus hubungan komunikasi radio dengan kapal pengiring itu pada jam 11.15 pagi.

No comments