Pemuda Maut kereta Jatuh Parit


Permaisuri: Seorang lelaki maut selepas kereta Perodua Myvi dipandunya terbabas sebelum terperangkap dalam parit yang dipenuhi air dalam kejadian di Kilometer 82.4 Jalan Kuala Terengganu-Kota Bharu ( Kampung Bintang), di sini, pagi tadi.
  Dalam kejadian jam 5.50 pagi itu, mangsa, Shamsul Mohd, 28, dari Kampung Putrajaya, Bandar Permaisuri, di sini meninggal dunia di tempat kejadian akibat lemas.
  Ketua Polis Daerah Setiu Deputi Superintendan Ab Rahman Raja Mohamed berkata, kejadian dipercayai berlaku apabila kenderaan dipandu mangsa dari arah Kuala Terengganu menghala ke Kota Bharu dikatakan hilang kawalan sebelum terbabas lalu merempuh tiang elektrik di bahu jalan.
  Beliau berkata, kemalangan itu menyebabkan kereta mangsa terhumban ke dalam parit yang dipenuhi air.
   "Mangsa terperangkap di dalam keretanya dan dipercayai lemas sebelum berjaya dikeluarkan dengan bantuan anggota Balai Bomba dan Penyelamat Setiu.
  "Mayat mangsa kemudian dibawa ke Hospital Setiu untuk bedah siasat," katanya.


No comments