Polis Tunjuk Lakaran Wajah Penculik Kanak-Kanak Perempuan

Mazlan (tengah) menunjukkan lakaran gambar suspek.
Kota Bharu: Lakaran fotofit suspek lelaki yang cuba menculik seorang kanak-kanak perempuan berusia 10 tahun di Kampung Aril, Melor, Jumaat lalu sudah diedarkan ke seluruh Kelantan.
Ketua Polis Negeri Datuk Mazlan Lazim berkata, berdasarkan keterangan mangsa, suspek dipercayai penduduk tempatan berusia lewat 20-an, memiliki susuk tubuh kurus dan tinggi serta berkulit sawo matang.
Katanya, suspek menggunakan kereta Proton Saga berwarna kelabu dan orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan diminta menghubungi balai polis terdekat.
“Kita memandang serius kejadian begini kerana membabitkan kanak-kanak. Siasatan masih lagi dijalankan terutama mengenal pasti motif sebenar penculikan itu.
“Saya minta jasa baik orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai suspek supaya segera menghubungi balai polis terdekat.
“Kami sudah edarkan lakaran fotofit dan anggota bersedia pada bila-bila masa untuk menangkap suspek,” katanya, di sini, semalam.
Mazlan berkata, tidak menolak kemungkinan suspek masih berada di sekitar Kota Bharu, Bachok dan Pasir Puteh.
Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 361, Kanun Keseksaan.
Lakaran wajah penculik budak perempuan, 10 tahun, di kawasan Kampung Aril, Melor, Kota Bharu.
Dalam kejadian Jumaat lalu, mangsa dilarikan suspek di depan kuil Wat Ariyakhiri, berhampiran rumahnya di Kampung Aril, Melor, dekat sini, kira-kira jam 3.30 petang. – hmetro

No comments