Terengganu Bakal Hadapi Banjir !


KUALA TERENGGANU – Kawasan rendah di Terengganu berisiko dilanda banjir jika hujan lebat dan sederhana di kebanyakan tempat di seluruh negeri ini masih berterusan.
Pemangku Setiausaha Majlis Keselamatan Negara (MKN) Terengganu Roslina Ngah berkata rekod masa ini menunjukkan purata taburan hujan di Terengganu adalah antara dua dan 80 milimeter.
Beliau berkata taburan hujan lebat dikesan di kawasan sebelah pantai di daerah Besut, Setiu, Kuala Terengganu, Marang, Dungun dan Kemaman.
“Paras air di sungai-sungai utama seluruh negeri masih mencatat paras normal manakala angin kencang dan laut bergelora dijangka membawa angin dengan kelajuan 40 hingga 50 kilometer sejam dengan ketinggian ombak 3.5 meter.
“Ribut petir di perairan Terengganu dijangka berterusan dan kawasan pantai terdedah dengan kenaikan air paras laut,” katanya dalam kenyataan, Isnin.
Semua jabatan dan agensi negeri dan daerah juga diminta terus bersiap siaga. – BERNAMA

No comments