Terkini :43 Pertuduhan RASUAH Terhadap KONTRAKTOR Kelas F

SEBAHAGIAN daripada 23 kontraktor Kelas F yang ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia bagi membantu siasatan kes tuntutan palsu projek baik pulih rumah nelayan dalam satu operasi di Dungun, Terengganu, semalam. – BERNAMA
KUALA TERENGGANU 16 Nov. - Kesemua 23 kontraktor Kelas F termasuk seorang wanita yang ditahan hari ini kerana disyaki mengemukakan tuntutan palsu terhadap projek baik pulih rumah nelayan di sekitar kawasan Dungun dan Paka akan dihadapkan ke mahkamah, esok.

Mereka yang berusia antara 30 hingga 50 tahun itu akan didakwa di Mahkamah Majistret Dungun pukul 8.30 pagi, membabitkan 43 pertuduhan.

Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ne­geri, Zainal Adam berkata, mereka yang ditahan itu adalah kontraktor yang dilantik di bawah Projek Khas Perumahan Nelayan (PKPN) bagi Parlimen Dungun dan Paka.

“Mereka dibawa ke pusat operasi SPRM di Dungun kira-kira pukul 12 tengah hari ini untuk membantu siasatan. Kes disiasat di bawah Seksyen 18 Akta SPRM 2009 kerana membuat tuntutan palsu,” katanya di sini hari ini.

Kesemua individu tersebut ditahan menerusi Ops Ombak selepas SPRM mengambil keterangan daripada 63 kontraktor yang terbabit dalam projek membaik pulih sebanyak 223 buah rumah nelayan di dua buah daerah ber­kenaan.

No comments