28 Graduan Sulung Lahir di Unisza


Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA).
Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) bakal melakar satu lagi sejarah dalam perkembangannya apabila melahirkan sekumpulan 28 graduan sulung perubatan dalam istiadat konvokesyennya bagi kali keenam mulai Sabtu ini.
Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UniSZA, Prof. Dr. Mahadzirah Mohamad berkata, kesemua 28 graduan tersebut berjaya menghabiskan pengajian mereka dalam peringkat Sarjana Muda Perubatan dan Pembedahan (MBBS).
“Istiadat selama tiga hari itu dijadual berlangsung di Stadium Tertutup Kompleks Sukan Terengganu di Gong Badak dekat sini, ujarnya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.
UniSZA memulakan Fakulti Sains Kesihatan pada 2007, disusuli Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan pada 2009 manakala sesi pertama program MBBS bermula pada sesi 2009/2010.
Pertambahan jumlah pelajar dan kekangan tempat latihan klinikal menjadi semakin kritikal dan sehubungan itu Hospital Pengajar UniSZA kini dalam proses dibangunkan.
Beliau memberitahu, selain itu, UniSZA juga berjaya melahirkan lebih ramai graduan peringkat doktor falsafah (PhD) iaitu seramai enam orang tahun ini berbanding hanya dua orang pada konvokesyen tahun lalu.

Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) Kampus Gong Badak.
Menurutnya, dalam istiadat itu nanti, secara keseluruhannya sejumlah 2,485 graduan akan menerima ijazah dan diploma masing-masing termasuk tiga tokoh akan menerima ijazah kehormat dalam bidang undang-undang, perubatan dan kepemimpinan pendidikan.
“Selain itu akan turut disampaikan anugerah diraja dan sembilan anugerah fakulti untuk pelajar cemerlang. Pada istiadat Konvokesyen yang berlangsung lima sesi itu, enam graduan menerima PhD, 22 orang di peringkat sarjana, 824 peringkat ijazah dan 1,633 orang peringkat diploma,” ujar beliau.
Dr. Mahadzirah berkata, majlis pengurniaan ijazah tersebut akan disempurnakan oleh Pro Canselor UniSZA, Tan Sri Dr. Mohd. Yusof Noor dan Naib Canselor universiti berkenaan, Prof. Datuk Dr. Yahaya Ibrahim

No comments