Ahmad Said Curi Tumpuan Ramai

KUALA TERENGGANU: Kehadiran bekas Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Said pada persidangan hari pertama mesyuarat ketiga penggal kedua Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu ke-13 hari ini, mencuri tumpuan ramai.
Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kijal itu yang tiba di Wisma Darul Iman kira-kira pukul 9.30 pagi kelihatan ceria dan bersemangat untuk menghadiri persidangan itu.
Kehadirannya disambut mesra oleh semua pegawai, Adun dan Exco termasuk Menteri Besar Datuk Ahmad Razif Abdul Rahman yang turut dilihat bersama-sama meluangkan masa menikmati nasi dagang ketika waktu rehat persidangan DUN.
Ini adalah kemunculan pertama Ahmad pada persidangan DUN setelah bergelar wakil rakyat biasa, setelah menyepikan diri berikutan pertukaran Menteri Besar pada Mei lalu.
Pada persidangan DUN September lalu, Adun Kijal itu tidak hadir dengan keizinan Yang Dipertua DUN Terengganu Datuk Mohd Zubir Embong setelah memberi alasan yang munasabah.
Orang ramai termasuk pemerhati dan wakil media turut tidak melepaskan peluang untuk bergambar dengan Ahmad yang disifatkan tegas dalam pentadbiran dan disenangi rakyat kerana mudah mesra ketika turun padang.
Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang merupakan ADUN Rhu Rendang dan Anggota Parlimen Marang turut dilihat ceria hadir ke persidangan bersama-sama Adun pembangkang yang lain.
Sementara itu, Mohd Zubir ketika menangguhkan persidangan pada tengah hari tadi berkata persidangan DUN hari ini berjalan lancar tanpa sebarang provokasi sama ada daripada pihak kerajaan mahupun pembangkang.
Ahmad yang menjadi Menteri Besar Terengganu pada 2008 meletak jawatan dan digantikan dengan Ahmad Razif yang merupakan Adun Seberang Takir pada Mei lalu.
Sementara itu, Ahmad Razif dalam ucapan ketika pembentangan Bajet 2015 turut merakam penghargaan terhadap peranan dan sumbangan Ahmad dalam sektor pelancongan di Terengganu selama ini.
"Dalam sektor pelancongan, kita terhutang budi dengan sumbangan yang dibuat Datuk Seri Ahmad Said.
"Untuk itu, wajarlah beliau dinobatkan sebagai Bapa Pelancongan Negeri Terengganu," katanya. - BERNAMA

No comments