BUkit Besi : PAS Terengganu Tembak Peluru Kapur



Kerajaan Terengganu sekali lagi menafikan penglibatan CAA Resources Sdn. Bhd. dan mana-mana anak syarikatnya termasuk Capture Bukit Besi Sdn. Bhd. dan Red Sun Resources Sdn. Bhd. dalam sebarang kegiatan perlombongan di negeri ini termasuk di Bukit Besi.
Penafian itu dibuat oleh Menteri Besar, Dato’ Ahmad Razif Abd Rahman semasa sesi penggulungan Bajet 2015 dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN), semalam.
Ketika ini, isu tersebut mula dijaja oleh pembangkang khususnya PAS.
Pemimpin PAS di Terengganu secara ‘tiba-tiba’ menjadi ‘pejuang’ Bukit Besi dengan hanya bersandarkan dakwaan Ketua Eksekutif CAA, Li Yang dalam satu temubual bersama New York Times pada 19 November 2014.
Walaupun perkara itu telah dinafikan sekeras-kerasnya oleh Menteri Besar dan Dewan Pangkuan Diraja Terengganu pada 23 November lalu, namun sebahagian pemimpin PAS seolah-olah mahu ‘mempersetankan’ apa jua penjelasan kerajaan negeri.
Barangkali, inilah ‘peluang’ yang mesti digunakan sepenuhnya oleh kepimpinan PAS negeri yang diketuai ADUN Paka, Satiful Bahari Mamat bagi memberi gambaran kepada rakyat bahawa Kerajaan Barisan Nasional (BN) Terengganu tidak bersih dan penuh dengan penyelewengan.
Bagi PAS, laporan berita New York Times adalah tepat dan mesti dipercayai walaupun Kerajaan Terengganu telah menghantar surat bantahan kepada Wisma Putra berhubung dakwaan itu.
PAS melemparkan tuduhan tidak berasas termasuk melalui risalah dan ceramah selain membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada 24 November lalu.
Pada 6 Disember lalu, PAS Kawasan Dungun melalui Yang Dipertuanya yang juga Ahli Parlimen Dungun, Wan Hassan Mohd Ramli mengumumkan penubuhan ‘Jawatankuasa Bertindak Isu Bukit Besi’.
Dalam keghairahan PAS ‘membedil’ kepimpinan Kerajaan Terengganu, mereka tidak terfikir takut-takut ‘senjata’ yang diasah itu ‘makan tuan’.
Merujuk kepada laporan tahunan 2013 CAA Resources, syarikat itu telah menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) dengan syarikat swasta yang kononnya mempunyai hak perlombongan di Terengganu.
“Berasaskan penelitian dan siasatan, CAA Resources mahu pun anak syarikatnya tidak pernah wujud di Bukit Besi. Saya bimbang laporan yang dimaksudkan bukan di Terengganu, tetapi Kelantan. Jadi memungkinkan timbul kekeliruan seperti ini.
“Oleh itu, saya mohon pihak pembangkang buat juga siasatan di Kelantan berkaitan dengan dua MoU yang dibentang dalam laporan tahunan syarikat tersebut,” kata Ahmad Razif semalam.
Berdasarkan laporan tahunan itu, dua MoU telah ditandatangani di Kelantan membabitkan anak syarikat CAA Resources iaitu Capture Advanve di kawasan seluas 1,940 hektar di Kemahang 3 pada 1 Disember 2013.
MoU itu melibatkan Capture Advance dan JKKR Felda Kemahang3 dan Bukit Besi Mining Sdn. Bhd.
Adakah pemimpin PAS mentafsirkan Bukit Besi Mining Sdn. Bhd. sebagai ‘perogolan’ Bukit Besi di Terengganu?
Manakala MoU kedua melibatkan kawasan seluas 485 hektar di Tanah Merah pada 19 Disember tahun sama antara Capture Advance dan SRI Jedok Mining Sdn. Bhd.
Dalam keghairahan itu, diharap pemimpin PAS tidak lupa bahawa hal ehwal tanah dan galian adalah urusan kerajaan negeri atau Kerajaan PAS Kelantan.
“MoU itu bukan antara Kerajaan Terengganu sebaliknya membabitkan urusan dalam kalangan syarikat swasta sendiri yang tidak kena mengena langsung de¬ngan kerajaan negeri,” tambah Ahmad Razif.
Adakah PAS Terengganu sanggup membuat siasatan perlombongan besi syarikat yang mempunyai kaitan dengan CAA Resources di Kelantan.
Dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri, Menteri Besar menyatakan hasil siasatan Pejabat Tanah dan Galian Negeri ke atas CAA Resources serta anak syarikatnya, Capture Bukit Besi Sdn. Bhd. dan Red Sun Resources Sdn. Bhd. adalah seperti berikut:
1. Syarikat-syarikat itu tidak pernah berurusan dengan kerajaan negeri.
2. Syarikat-syarkat itu tidak pernah diberi kelulusan dalam aktiviti perlombongan oleh kerajan negeri di Bukit Besi atau Negeri Terengganu.
3. Syarikat-syarkat itu bukan sub-kontraktor atau operator kepada mana-mana syarikat perlombongan di Terengganu terutamanya di Bukit Besi.
4. Syarikat-syarkat itu tidak memiliki tanah lombong di Bukit Besi dan seluruh Terengganu.

No comments