Mata Wang Beberapa Negara Asia Jatuh!

SINGAPURA: Mata wang beberapa negara Asia termasuk ringgit Malaysia serta won Korea Selatan jatuh berikutan peningkatan permintaan dolar Amerika Syarikat (AS), didorong kebimbangan mengenai kesan ekonomi terhadap negara berkenaan apabila harga minyak terus turun.
Ringgit paling teruk terjejas berbanding negara serantau lain, turun ke paras terendah dalam lima tahun kerana pelabur bimbang penurunan harga minyak mentah AS ke paras terendah dalam lima tahun akan menjejaskan pertumbuhan ekonomi Malaysia, pengeksport bersih minyak dan pengeluar utama minyak sawit.
Won juga jatuh ke paras terendah dalam 15 bulan selepas penurunan tidak dijangka dalam data eksport pada November serta disebabkan yen jatuh ke paras terendah dalam tujuh tahun berbanding dolar AS.
Jualan besar-besaran mata wang serantau berikutan penurunan harga minyak turut mencetuskan kebimbangan mengenai deflasi di kawasan zon euro dan Jepun.
Ringgit turun sebanyak 1.6 peratus kepada 3.4375 bagi satu dolar AS, terendah sejak Februari 2010. Mata wang tempatan itu menghadapi tekanan daripada permintaan dolar, walaupun bank pusat dipercayai campur tangan bagi menyekat penurunan berterusan, kata peniaga.
Won pula jatuh 1.1 peratus kepada 1,120 bagi satu dolar, terendah sejak 23 Ogos 2013 selepas data menunjukkan eksport yang rendah pada November sekali gus meningkatkan tekanan untuk negara itu menurunkan lagi kadar faedah.
Rupiah jatuh 0.6 peratus kepada 12,270 untuk satu dolar AS, terendah sejak 7 Januari lalu. Eksport Indonesia pada Oktober jatuh 2.21 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu, manakala kaji selidik mendapati kegiatan pengilangan menyusut pada November ke paras terendah sejak awal 2011. - Reuters

No comments