Nasib 1500 pekerja Perwaja terbela

Nasib 1,500 pekerja Perwaja Steel Sdn Bhd (Perwaja) akan terbela walaupun syarikat itu bakal ditutup akhir tahun ini.
KUALA TERENGGANU – Nasib kira-kira 1,500 pekerja Perwaja Steel Sdn Bhd (Perwaja) akan terbela meskipun syarikat kilang besi keluli nasional itu akan tamat beroperasi hujung tahun ini.
Pengerusi Jawatankuasa Perindustrian dan Perdagangan Terengganu, Datuk Tengku Putera Tengku Awang berkata, justeru kerajaan negeri telah meminta syarikat kilang besi keluli dari China, Eastern Steel Sdn Bhd (Eastern Steel) agar mengutamakan pengambilan pekerja Perwaja.
Menurutnya, secara am kerajaan negeri telah berunding dengan pihak Eastern Steel di mana pekerja yang berkemahiran akan diambil untuk bekerja.
“Bagaimanapun kita dan pihak Eastern Steel ketika ini tidak memperuntukkan kuota atau peratusan tertentu dalam mengambil khidmat tenaga kerja itu, ia bergantung kepada kemahiran mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas sesi penggulungan persidangan Dun hari ini.
Perwaja yang ditubuh di bawah dasar perindustrian berat pada tahun 1982 telah beberapa kali bertukar pemilikan dengan dilanda pelbagai masalah termasuk masalah kewangan sehingga operasinya terpaksa ditutup.
Manakala Eastern Steel merupakan kilang besi keluli terbesar Malaysia yang dibangunkan dengan pelaburan RM1.8 bilion di Teluk Kalong, Kemaman di atas tapak seluas kira-kira 500 hektar.
Menurut Tengku Putera, kerajaan negeri menerusi Jawatankuasa Penyelarasan Pekerjaan bersedia untuk membuat perjumpaan dengan pekerja yang terlibat dengan masalah itu.
“Proses pemberhentian pekerja Perwaja Steel telah diketahui kira-kira setahun yang lalu, namun fasa awal pemberhentian kerja telah bermula awal September lalu.
“Penutupan tidak boleh dielakkan walaupun beberapa suntikan modal yang besar dan pelan menyelamat syarikat telah dilakukan namun ia tetap melalui jalan buntu,” katanya.
Beliau berkata, namun begitu kerajaan negeri juga sedia memberi keutamaan berbentuk bantuan perniagaan kepada pekerja Perwaja yang mahu menceburkan diri dalam keusahawanan. – 

No comments