Pangkuan Diraja Terengganu Nafi Terima Sogokan

20IRONORE-master675
Dewan Pangkuan DiRaja Terengganu menafikan ahlinya terbabit menerima wang atau lain-lain pemberian bagi membantu mana-mana individu, pertubuhan atau syarikat mendapatkan gelaran ‘Datuk’ di negeri itu.
Dalam laporan Bernama Dewan itu memberitahu, siasatan mendapati dakwaan dibuat oleh seorang ahli perniagaan China bernama Li Yang dalam sebuah akhbar antarabangsa baru-baru ini adalah tidak benar.
“Dewan Pangkuan DiRaja Terengganu pada 23 November lepas telah mengkaji dan meneliti dakwaan-dakwaan Li Yang.
“Dakwaan itu dipetik dalam akhbar The New York Times bertarikh 19 November dan Utusan Malaysia bertarikh 22 November yang antara lain mendakwa telah membayar AS$100,000 (RM334,815) kepada ahli politik Barisan Nasional (BN) untuk mendapat gelaran Datuk.
“Dewan Pangkuan Diraja Terengganu telah membuat siasatan awal terhadap dakwaan-dakwaan itu dan mendapati dakwaan-dakawaan tersebut adalah tidak benar,” menurut badan itu dalam satu kenyataan.
Pada Khamis lepas, sebuah portal berita memetik laporan The New York Times sebagai menyebut Li memberi sogokan AS$100,000 (RM334,815) kepada pihak tertentu supaya ahli-ahli politik BN mendapat gelaran ‘Datuk’ sekali gus memudahkan operasi lombongnya di Bukit Besi, Terengganu.
Menurut laporan itu juga, Li didakwa berbuat demikian sebagai sebahagian daripada rancangannya bagi “membina hubungan” dengan ahli politik dan pihak kerabat diRaja.

No comments