PAS Dungun Menceroboh Premis,- PASMA Lapor Polis

LAPORAN POLIS
Hubungan antara PAS dengan Persatuan Ummah Sejahtera Malaysia (PASMA) tegang di Terengganu apabila NGO itu mendakwa program mereka di Dungun diganggu aktivis PAS kawasan itu.
Sehubungan itu, seorang pemimpin PASMA kawasan itu yang menganjur program itu, Baharudin Abd Hamid membuat laporan polis, 30 November lalu.
Ini adalah kekasaran pertama yang berlaku antara kumpulan itu dengan PAS sejak parti Islam itu dilanda krisis dalaman.
Ia bermula apabila PASMA dengan menggunakan sebuah NGO lain iaitu Pertubuhan Tuntutan Demokrasi dan Saksama (Desak) dengan kerjasama Kelab Veteran PAS Dungun menganjurkan satu majlis di Dungun Jumaat lepas.
Namun PAS tidak bersetuju bendera parti itu dipasang di majlis itu kerana ia bukan majlis anjuran PAS.
Ekoran itu, beberapa aktivis PAS cuba membuang bendera itu dan berlaku kekecohan antara mereka dan ia berlanjutan sehingga beberapa kejadian.
Baharudin yang merupakan Ketua PASMA Dungun membuat laporan polis di atas insiden itu.
Dalam laporan itu, Baharudin meminta Pesuruhjaya PAS Terengganu dan Ahli Parlimen PAS Dungun bertanggungjawab terhadap peristiwa itu.
LAPORAN POLIS2
Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Khalid Samad turut menyertai program itu bersama Presiden PASMA, Dato’ Phahrolrazi Zawawi, ADUN Bandar yang juga pengerusi PKR Terengganu, Azan Ismail dan Pengerusi DAP Terengganu, Ng Chai Hing.
PASMA ditubuhkan ketika krisis dalam Pakatan Rakyat (PR) memuncak ekoran Langkah Kajang yang dibuat PKR untuk menukar bekas Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim yang tidak dipersetujui pemimpin utama PAS.
Perpecahan dalam PAS mewujudkan PASMA yang berkata mereka berusaha untuk memperkukuhkan PR.
Negeri yang paling keras menentang PASMA adalah Terengganu di mana pemimpinnya mengeluarkan arahan kepada ahli PAS agar jangan terlibat dengan sebarang aktiviti PASMA.
Ia selaras dengan nasihat Majlis Syura Ulama, badan tertinggi dalam PAS yang meminta ahli PAS tidak terlibat dengan sebarang aktiviti PASMA.
Pada masa sama, Terengganu menjadi negeri yang paling aktif PASMA di mana mereka berjaya menubuhkan NGO itu di peringkat negeri dan kawasan.

No comments