15 Guru ETA Bertugas Di Terengganu

SYA_5546
Ghazali Taib bersama peserta English Teaching Asistants (ETA) pada Majlis Penyerahan Guru English Teaching Asistants (ETA) di Hotel Tanjung Vista, hari ini. Foto oleh Tg Syamim Tg Ismail
Bagi tahun 2015, seramai 100 siswazah muda dari Amerika Syarikat menyertai program Fulbright English Teaching Assistant (ETA) dengan sesetengah daripada mereka dihantar berkhidmat di negeri terpilih selama sepuluh bulan mulai bulan ini.
Daripada jumlah itu, 15 Pembantu Guru Bahasa Inggeris ditempatkan ke sekolah menengah terpilih di Terenganu untuk membantu meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris dalam kalangan pelajar.
Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Sains Teknologi dan Tugas-Tugas Khas Negeri, Ghazali Taib berkata, guru-guru ini akan menabur khidmat di tujuh daerah di negeri ini sehingga Oktober depan.
“Dengan adanya guru-guru ini diharap dapat meningkatkan lagi motivasi pelajar di Terengganu untuk mengusai Bahasa Inggeris.
“Saya yakin, pendekatan secara santai yang digunakan mereka mampu menarik minat para pelajar untuk meminati bahasa kedua ini,” ujarnya.
SYA_5408
Beliau berkata demikian di Majlis Penyerahan Peserta Program Fulbright English Teaching Assistant (ETA) Tahun 2015 Zon Timur, hari ini.
Program ETA Fulbright ini dikendalikan bersama oleh Suruhanjaya Pertukaran Pendidikan Malaysia-Amerika (MACEE) dan Kementerian Pendidikan.
Ia merupakan program kolaborasi antara kerajaan Malaysia dengan Amerika Syarikat sebagai salah satu usaha kerajaan untuk merealisasikan Dasar Memperkukuh Bahasa Inggeris dengan meningkatkan pertukaran dan kerjasama dalam bidang pendidikan.
Menurut Ghazali, sejak 2006 hingga 2014, seramai 146 sukarelawan ETA telah membantu anak-anak Terengganu dalam memperkukuhkan kemahiran Bahasa Inggeris di dalam dan luar sekolah .
“Selain bertindak sebagai pencetus idea ke arah menarik minat pelajar mengusai Bahasa Inggeris, guru-guru ETA ini secara tidak langsung turut melakukan aktiviti di luar bilik darjah seperti bermain futsal, Frisbee, memasak dan sebagainya.
“Mereka juga sedia berkongsi pengalaman dengan warga sekolah serta mempelajari keunikan dan budaya di negara ini,” ujarnya

No comments