Lori menjunan ke dalam gaung Di seberang Tayol Kemaman

Lori berjaya dikeluarkan selepas terjatuh ke dalam kolam besar Kuala Tayor.
KUALA TAYOR – Seorang pemandu lori sayur dan kelindannya menempuh detik mencemaskan apabila lori dinaiki mereka terjunam ke dalam kolam besar yang terbentuk akibat jalan putus di Kuala Tayor, dalam kejadian kira-kira jam 5 pagi semalam.
Akibat insiden itu, mangsa yang berusia 32 tahun dan kelindannya, 16, tenggelam bersama lori berkenaan ke dalam kolam besar sedalam lebih 10 meter itu.
Dalam keadaan panik terperangkap dalam lori berkenaan, kedua-dua mangsa keluar menerusi tingkap dan berenang naik ke permukaan air untuk menyelamatkan diri.
Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Che Suza Che Hitam berkata, kejadian itu berlaku ketika lori dari Kuala Lumpur berkenaan dalam perjalanan menghantar bekalan sayur ke Pasar Tani Kampung Air Putih, setelah singgah menurunkan bekalan sayur di Pasar Borong Dusun Nyior, Chukai.
Katanya, ketika melalui Jalan Chukai-Air Putih dekat Kuala Tayor, mangsa mengakui tidak ada pengadang plastik di tengah jalan dan hanya menyedari alat sekatan itu ada di kiri dan kanan jalan sahaja.
“Berikutan itu, kenderaan dinaiki mereka jatuh ke dalam jalan yang putus, namun tindakan segera diambil kedua-dua mangsa dengan keluar dan berenang ke darat berjaya menyelamatkan mereka.
“Insiden itu turut menyebabkan cermin depan lori itu pecah dan terkena kedua-dua mangsa hingga pemandu mengalami luka-luka kecil di kepala dan muka, sementara kelindannya pula hanya luka di kepala,” katanya.
Lori sayur tenggelam dalam kolam besar yang terbentuk di jalan putus ini dibawa naik ke darat dengan menggunakan kren.
Sejak kejadian jalan putus itu berlaku pada 18 Disember, pihak berkuasa meletakkan pengadang plastik di lokasi kerana jalan itu ditutup, namun dipercayai alat sekatan itu dialih individu tidak bertanggungjawab.
Berikutan kedua-dua mangsa berasal dari Pahang, mereka tidak mengetahui jalan itu ditutup disebabkan berlaku runtuhan.
Kata Che Suza, kedua-dua mangsa kemudian membuat laporan polis kira-kira jam 6 pagi dan mendapatkan rawatan sebagai pesakit luar di Hospital Kemaman.
Lori mangsa berjaya dikeluarkan dari kolam besar itu dengan bantuan sebuah kren, kira-kira jam 12.30 tengah hari.
Susulan itu, pihak polis menambah sebanyak dua papan tanda amaran di kawasan itu dalam jarak 100 meter dan 50 meter dari lokasi jalan terputus bagi mengelakkan kejadian sama berulang, selain tali amaran turut direntangkan dalam jarak 50 meter dari jalan runtuh itu

No comments