PASMA Tidak Di Terima Dalam PAS - Haji Hadi

Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang menghalau PasMa – NGO yang digerakkan  anggota parti itu – jika tidak berpuas hati dengan tindakan PAS dalam Pakatan Rakyat.Memberi amaran supaya PasMa tidak membocor dan merosakkan “bahtera” PAS, dengan nada lebih sinis, Hadi mengumpamakan NGO itu sebagai penebuk kapal dan menegaskan perjuangan PAS tidak sama dengan PKR dan DAP.
“Inilah bahtera PAS. Kita dalam Pakatan Rakyat bukanlah dalam bahtera yang sama. PKR bahtera lain, DAP bahtera lain, kena faham.”Jika ada yang merasakan bahtera ini bergerak perlahan, ada kekurangan, jangan bocor dan rosakkan bahtera ini.
“PasMa ni ibarat mereka yang menebuk kapal. Kalau rasa payah sangat pergilah ke bahtera lain yang kamu suka yang kamu rasakan lebih cepat sampai ke destinasi.
“Pergilah ke kapal DAP, kapal PKR, kalau nak cepat lagi ke Putra Jaya pergilah ke bahtera Umno,” kata beliau dalam laman Facebooknya kelmarin.
Keterbukaan dalam PAS, kata Abdul Hadi, ditunjukkan dengan tidak membezakan anggotanya sebaliknya menggabungkan semua kepakaran termasuk ulama dan profesional asalkan mereka memperjuangkan Islam.
“PAS meraikan kepelbagaian pandangan yang dibatasi dengan syarak. Di dalam perlembagaan PAS, meletakkan al-Quran, Hadis, Ijmak dan Qias sebagai undang undang tertinggi dalam menentukan sesuatu pendirian.
“Para ulamak yang pakar dan berkebolehan dalam merujuk kitab kitab ulamak terdahulu, serta kepakaran mereka dalam bidang syariat, dihimpunkan dalam Majlis Syura Ulama bagi memandu PAS agar tidak terbabas daripada sempadan syarak,” katanya.
Menurutnya lagi, PAS menggabungkan kepelbagaian bidang untuk memutuskan sesuatu ijtihad mengikut kesesuaian zaman khususnya berkaitan penglibatan bukan Islam dalam parti Islam itu.

No comments