Mahkamah tolak rayuan tukang masak kes rogol gadis

Tertuduh di bawa ke mahkamah Tinggi Kuala Terengganu.
KUALA TERENGGANU – Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu semalam, menolak rayuan seorang tukang masak sekali gus mengekalkan hukuman penjara 12 tahun dan lapan sebatan kerana kesalahan merogol gadis di bawah umur, empat tahun lalu.
Hakim Datuk Zainal Azman Ab Aziz membuat keputusan itu terhadap Ahmad Shuhaimi Aziz, 33, selepas menolak rayuannya terhadap sabitan dan hukumannya.
Sebelum ini, mahkamah sesyen telah mensabitkan kesalahan terhadap Ahmad Shuhaimi selepas didapati bersalah merogol seorang gadis berusia 14 tahun dan lapan bulan di dalam kereta jenis Proton Wira yang diletakkan di kawasan perkuburan Cina Batu 5, Dungun.
Dia didapati bersalah melakukan perbuatan itu pada 20 Mei 2011, di antara jam 6.30 pagi hingga 9 pagi.
Ahmad Shuhaimi didapati bersalah mengikut Seksyen 376 (2) (d) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang lima tahun dan tidak lebih daripada 30 tahun serta boleh dikenakan sebatan, jika disabitkan kesalahan. -Sinar Harian

No comments