Penerbangan Terus ke Negara bantu Perkembangan ekonomi Terengganu

.
Industri pelancongan Terengganu yang menyasarkan ketibaan lebih lima juta pelancong tahun ini dijangka dapat disokong oleh tiga penerbangan terus dari Singapura; Medan, Indonesia dan Ningbo, China.
Penerbangan terus dari Singapura ke Lapangan Terbang Sultan Mahmud, Kuala Terengganu sudah bermula Mac, dan penerbangan Medan, Indonesia pada September tahun lalu.
Manakala perkhidmatan sama ke Ningbo akan direalisasikan pada Februari depan.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Kebudayaan Negeri, Dato’ Mohd Jidin Shafee berkata Terengganu juga yakin sasaran lima juta ketibaan pelancong dapat dicapai memandangkan tahun lalu, lebih 4 juta pelawat sudah direkod berdasarkan penginapan di hotel.
Katanya, Kompleks mega Paya Bunga Square (PB Square) milik Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (PMINT) di bandar raya ini mula beroperasi Disember lalu mampu menarik lebih ramai pelancong ke Terengganu.
“Kompleks berharga RM120 juta itu mengandungi 1 blok hotel 19 tingkat dengan 199 bilik, kolam renang, bilik seminar, gimnasium, ruang pejabat, premis perniagaan empat tingkat dan tempat letak kereta tiga tingkat
“Manakala Paya Bunga Sentral (PB Sentral) pula dijangka beroperasi pada suku tahun pertama 2016. Mempunyai 2 tingkat ruang cinema (11 dewan), 1 tingkat ruang boling 36 lorong dan tujuh unit kedai,” katanya
Menurutnya, kerajaan negeri menganjurkan pelbagai program tahunan peringkat antarabangsa di pelbagai lokasi menarik di negeri ini sebagai langkah menambat hati pelawat terutama pelancong luar negara.
“Antaranya, Terengganu International Press Tour of Terengganu yang akan diadakan selama seminggu dan berakhir 3 Mei depan.
“Program itu akan menghimpunkan kira-kira 200 pengamal media tempatan dan luar Negara. Mereka akan dibawa ke destinasi tersohor, selain memperkenalkan pelbagai produk Industri Kecil dan Sederhana.
“World International Islamic Festival (23 hingga 31 Ogos) bertujuan membuka peluang, memperkenalkan dialog, meningkatkan tahap kesedaran dan memberi lebih pemahaman di antara komuniti sesama Islam dan bukan Islam sejagat,” katanya. -TEGANUKITA

No comments