Tiada Peraturan Baharu Etika Pakaian Pelancong

8 (9)
Kerajaan negeri tidak ada perancangan untuk membuat peraturan baharu tentang etika pakaian pelancong yang datang ke Terengganu.
Menteri Besar, Dato’ Ahmad Razif Abd Rahman berkata, ia tidak memerlukan penggubalan atau pindaan baru kerana undang-undang yang sedia ada sudah memadai kecuali terdapat keperluan.
Katanya, terlalu banyak khabar angin yang timbul ketika ini akibat salah faham berikutan langkah Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) yang mengambil tindakan terhadap umat Islam yang berkelakuan tidak senonoh dan berpakaian tidak sopan di tempat awam, baru-baru ini.
Katanya, kerajaan negeri menyokong tindakan MAIDAM itu kerana ia termaktub dalam Seksyen 34 dan Seksyen 35 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) Terengganu 2001.
“Undang-undang diluluskan sidang Dewan Undangan Negeri pada tahun 2001, jadi perkara yang baik seperti ini kita perlu laksanakanlah,” ujarnya.
Beliau berkata demikian selepas menyampaikan hadiah komputer riba kepada 14 pelajar cemerlang Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) di Sekolah Menengah Agama (Atas) Sultan Zainal Abidin, semalam.
Beliau juga mahu semua pihak menghentikan penyebaran maklumat palsu berhubung penguatkuasaan enakmen itu termasuk kononnya terdapat individu yang dikenakan saman kerana ketika ini, mereka hanya diberi kaunseling sahaja.
“Buat permulaan, tindakan yang diambil hanyalah peringatan dan mereka diberi kaunseling yang diselia MAIDAM.
“Malah saya juga sudah meminta MAIDAM agar memperhebatkan penerangan mengenai tatacara etika berpakaian yang betul kerana pendidikan yang dibuat akan memberi kesedaran yang baik kepada semua pihak sebelum tindakan lebih lanjut diambil,” katanya.

No comments