Dua Sahabat Ditemui Lemas

Kuala Kubu Bharu: Kegembiraan lima pelajar sebuah kolej berkelah dan mandi di air terjun Sungai Selangor di Kampung Orang Asli Pertak, di sini, berakhir tragedi apabila dua daripada mereka ditemui lemas petang semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 3 petang itu, pelajar terbabit dikatakan sedang bermandi-manda sebelum dua daripada mangsa tiba-tiba hilang daripada pandangan menyebabkan tiga lagi rakannya cemas sebelum menghubungi pihak berkuasa bagi memaklumkan kejadian.

Bagaimanapun, kecekapan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Kubu Bharu berjaya menemui kedua-dua mangsa pada jarak dua meter antara satu sama lain di tengah sungai yang berkedalaman lapan meter.

Pemangku Ketua BBP Kuala Kubu Bharu P Kireetharan berkata, pihaknya menerima panggilan daripada orang awam jam 3.19 petang dan tiba di lokasi jam 3.38 petang.

“Mangsa pertama dikenali sebagai L Viknesh, 25, ditemui di tengah sungai pada jam 4.08 petang.
“Mangsa kedua ditemui jam 4.21 petang kira-kira dua meter daripada kedudukan mangsa pertama,” katanya kepada Harian Metro.

No comments