Cadangan guna Landasan kereta api lama tidak masuk Akal -Ir Rosli

image
Cadangan yang dikemukakan oleh Kuantan Port Consortium Sdn. Bhd. (KPC) untuk menggunakan landasan kereta api lama dari Kerteh, dekat sini sebagai pengangkutan alternatif bagi mengangkut bauksit ke Pelabuhan Kuantan mendapat respon negatif dari Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur dan Kemudahan Awam Negeri Terengganu, YB. Ir Rosli.

Rosli turut menyifatkan cadangan tersebut tidak masuk akal berdasarkan beberapa faktor keselamatan yang menghalang landasan tersebut daripada beroperasi.

“Landasan kereta api lama itu sudah tidak boleh digunakan sama sekali kerana banyak besi-besi yang dijadikan landasan telah dicuri kerana sudah lama terbiar,
“Terdapat kawasan-kawasan tertentu yang tidak boleh digunakan ,termasuk bentuk muka buminya, serta terdapat tanah mendap, katanya ketika dihubungi Terengganu Times hari ini.
Tambah beliau, ianya akan menelan kos yang besar bagi kerja-kerja membaiki landasan tersebut serta melibatkan banyak perkara yang perlu dibuat penelitian dan diambil kira.

Sabtu lalu, Ketua Pegawai Operasi Kuantan Port Consortium Sdn Bhd, Datuk Khasbullah A. Kadir telah mencadangkan laluan sejauh 7 kilometer dari Sungai Ular di sini sehingga ke Kampung Selamat yang terletak bersebelahan dengan Pelabuhan Kuantan sebagai alternatif untuk mengangkut bauksit.

Beliau berpendapat laluan tersebut merupakan laluan yang sesuai kerana tidak melalui kawasan penempatan selain pokok-pokok di sepanjang laluan tersebut bertindak sebagai zon penampan supaya debu dan pencemaran yang mungkin timbul daripada operasi pengangkutan bauksit tidak merebak ke kawasan lain.

Walaubagaimanapun, kesan pencemaran bauksit yang terlihat di Lebuhraya Pantai Timur melalui ladang kelapa sawit, telah sama sekali menolak pendapat pokok-pokok dapat bertindak sebagai zon penampan debu dan pencemaran bahan galian itu.

No comments