Raja Bahrin Mangsa Pembersihan Parti PAS!

PAS makin Parah
PAS makin Parah
Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang menyifatkan tindakan beberapa kumpulan kecil anggota parti di seluruh negara yang mengumumkan keluar daripada PAS adalah sebagai satu proses pembersihan parti.
Beliau turut tidak risau dengan perkembangan itu kerana ia adalah sesuatu yang baik untuk parti malah menegaskan PAS menerima lebih banyak permohonan untuk menyertai parti berkenaan.
“Itu (tindakan keluar parti) adalah pembersihan parti yang berlaku dengan sendiri, bila berlaku banjir … bah, pasir pun berubah, katanya kepada pemberita pada majlis sambutan Aidilfitri Badan Perhubungan PAS Terengganu di sini hari ini.
Turut hadir Timbalan Ketua Dewan Ulama PAS Datuk Dr Nik Mohd Zawawi Salleh dan Pesuruhjaya PAS Terengganu Satiful Bahri Mamat.
Pada sebelah paginya, Raja Kamarul Bahrin, Ahli Parlimen Kuala Terengganu telah membuat sidang media untuk menyatakan putus hubungan dengan PAS dan lebih memfokuskan kepada Gerakan Harapan Baru (GHB) Terengganu yang akan di lancarkan pada 21 ogos nanti.
Sebelum ini beberapa kumpulan anggota PAS peringkat negeri dan cawangan mengambil keputusan meninggalkan parti itu termasuklah Ketua Pemuda PAS kawasan Shah Alam Helmi Radzuan dan 12 anggota jawatankuasanya yang meletakkan jawatan kerana mendakwa parti itu semakin “eksklusif”.
Turut melakukan perkara yang sama ialah 12 anggota PAS cawangan Jelebu, Negeri Sembilan yang mengisytiharkan keluar parti kerana kecewa dengan keputusan pemilihan parti pada Muktamar ke-61 di Kuala Selangor baru-baru ini.
Syed Azman, Adun Batu Buruk juga di kaitkan dengan Gerakan Harapan Baru (GHB), Beliau masih belum membuat keputusan untuk keluar atau tidak daripada PAS dan menyertai yang lain seperti rakan seperjuangan beliau Raja Bahrin.
Dalam perkembangan lain, Abdul Hadi berkata PAS tidak akan membuat penyertaan langsung dalam Himpunan Bersih 4.0 dijadual 29 Ogos ini sebaliknya hanya menghantar dua wakil iaitu Naib Presiden PAS Idris Ahmad dan Timbalan Pesuruhjaya 1 Wilayah Kamaruzaman Mohamad kerana akan menganjurkan majlis sendiri pada masa akan datang.
Bagaimanapun PAS tidak menghalang mana-mana anggota parti yang mahu menyertai himpunan tersebut dan tiada galakan untuk menyertainya memandangkan PAS bukanlah penganjur bersama seperti pada himpunan Bersih yang diadakan sebelum ini, katanya.

No comments