Malah Badan Perhubungan Pas negeri itu turut menyifatkan Ahli Parlimen Kuala Terengganu telah mengkhianati parti terutama penyokongnya yang mengundi beliau dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) lalu.

Pesuruhjaya Pas Terengganu, Satiful Bahri Mamat berkata, Raja Kamarul Bahrin perlu melepaskan jawatannya itu berdasarkan sumpah bai’ah yang dilafazkannya sejurus selepas dicalonkan sebagai wakil rakyat Pas bagi kerusi Parlimen Kuala Terengganu dua tahun lalu.

Jelasnya, mengikut bai’ah itu, secara automatik keahlian Raja Kamarul Bahrin dalam Pas gugur dan Pengerusi Amanah Terengganu itu sepatutnya mengembalikan semula jawatan yang disandangnya sekarang sebagai wakil rakyat Pas kepada rakyat.

“Bagi pihak Perhubungan Pas Terengganu, kami menyokong penuh pendirian Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Setiausaha Agung, Datuk Takiyuddin Hassan bahawa mereka yang menyertai parti lain kena letak jawatan dan serah semula kepada rakyat untuk buat pilihan,” katanya kepada pemberita di Markaz Tarbiyah Pas Kawasan Kuala Terengganu di Kuala Ibai di sini hari ini.

Jumaat lalu, Raja Kamarul Bahrin secara rasmi dilantik sebagai Pengerusi Amanah Terengganu dalam majlis prapelancaran parti berkenaan di Jalan Balai Besar, Dungun dan pelantikan itu diumumkan oleh pengerusi parti tersebut, Mohamad Sabu.

Menurut Satiful Bahri, pihaknya mempunyai bukti jelas yang Raja Kamarul Bahrin telah melakukan bai’ah dengan bersumpah taat setia di hadapan Presiden Pas pada 18 April 2013 yang turut disaksikan kepemimpinan parti yang lain.
“Antara sumpah yang beliau lafaz itu adalah sedia letak jawatan sebagai ADUN atau wakil rakyat sekiranya keluar atau lompat parti lain,” jelasnya yang juga ADUN Paka.

Beliau seterusnya berharap supaya Raja Kamarul Bahrin beristiqamah dengan menyerahkan semula kuasanya sebagai ahli Parlimen kepada rakyat demi integriti dan menjaga maruah parti.

Satiful Bahri juga kesal dengan sikap dolak-dalik Raja Kamarul Bahrin yang sejak awal lagi enggan mengakui penglibatannya dalam parti baharu itu sehinggalah secara rasmi pengumuman pelantikannya pada malam prapelancaran parti berkenaan di Dungun kelmarin.