Perutusan Menteri Besar Terengganu Sempena Hari Guru 2016

16 Mei 2016

PERUTUSAN MENTERI BESAR TERENGGANU SEMPENA HARI GURU 2016 “GURU PEMBINA NEGARA BANGSA”

SEJARAH pembangunan Malaysia dilakar melalui kalam para guru.

Ia disuburkan hasil perit jerih payah dan pengorbanan warga pendidik di bilik-bilik darjah dan padang-padang permainan.

Sebuah negara yang maju dan sebuah tamadun yang hebat tidak mungkin terbina tanpa insan yang bergelar guru.

Para gurulah yang membuka pintu gedung ilmu pengetahuan, membolehkan penerokaan khazanah minda, seterusnya mengoptimumkan potensi modal insan negara.

Ungkapan mengagumi profesion keguruan ini tidak sahaja sering diluahkan tetapi diperakui peringkat global.

Guru merupakan wira masyarakat atau `the unsung heroes in the society'.

Hakikatnya, setiap seorang tidak kira sama ada dia seorang pemimpin, pentadbir, doktor, peguam, akauntan, jurutera, ahli sukam atau apa jua kerjayanya, telah terasuh dan dibimbing oleh insan yang bernama guru.

Hari ini di setiap ceruk rantau negara, para guru tanpa mengenal penat lelah sentiasa membawa harapan kepada anak-anak Malaysia.

Dan cabaran profesion keguruan perlu bersesuaian dengan suasana pendidikan yang kini sudah berubah.

Ini memandangkan murid-murid kini adalah 'digital natives' iaitu celik mata sahaja mereka terlebih dahulu mencapai telefon pintar masing-masing.

Pengetahuan yang diperoleh mereka berada di hujung jari. Sumber maklumat kini bukan hanya daripada guru atau ibu bapa tetapi daripada gajet di jari mereka.

Realitinya, murid-murid negara ini lebih terkehadapan dalam penggunaan teknologi terkini. Teknologi pendidikan berkembang pesat.

Kerana itu, sebagai pendidik kita mestilah beberapa langkah ke hadapan. Lebih penting lagi membimbing mereka supaya tahu membezakan mana yang betul dan yang salah. Pupuklah akhlak mereka supaya menjadi warganegara berguna demi kemajuan negara.

Kerajaan negeri Terengganu memandang tinggi profesion keguruan.

Jasa guru kepada negeri Terengganu sama sekali tidak kami lupakan. Pencapaian membanggakan anak-anak kami dalam peperiksaan-peperiksaan di sekolah tidak akan tercapai tanpa kerja keras guru.

Prestasi pencapaian SPM negeri Terengganu 2015 mencatatkan peningkatan memberangsangkan. Seramai tujuh (7) orang calon mendapat keputusan straight A+ berbanding 6 orang calon pada tahun 2014, 348 orang (1.83%) mendapat straight A, manakala 3,209 (20.65%) mendapat minimum C (kepujian semua matapelajaran), peningkatan 3.97% daripada keputusan tahun 2014.

Dari sudut pencapaian, 7 buah sekolah telah tersenarai dalam kategori sekolah berpencapaian cemerlang berbanding hanya 6 buah sekolah pada tahun 2014.

Terengganu juga sekali lagi mengekalkan rekod cemerlang apabila menjadi negeri pertama terbaik dalam negara menerusi pencapaian Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2015.

Keputusan itu sekali gus menjadikan negeri Terengganu berada di tangga pertama di peringkat kebangsaan dua tahun berturut-turut.

Dalam peperiksaan Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3) 2015 pula, seramai 46 daripada 62 calon PT3 Sekolah Menengah (SM) Imtiaz Besut berjaya memperoleh 11A dan sekali gus menobatkan sekolah itu antara sekolah terbaik di negeri Terengganu pada tahun berkenaan.

Seiring dengan prinsip ke-8 Transformasi Terengganu Baharu (TTB) iaitu Memperkasakan Pendidikan dan seruan Memperkasakan Transformasi Pendidikan oleh JPNT, kerajaan negeri sentiasa membantu dan mengambil serius usaha pihak Jabatan Pendidikan Negeri, Pejabat Pendidikan Daerah, Pengurusan Sekolah, PIBG, guru-guru dan ibu bapa yang telah sederap, sehasrat dan sepakat dalam menyemarakkan impian kita merealisasikan gagasan TTB, Terengganu Negeri Anjung Ilmu menjadi kenyataan.

Jasa dan khidmat bakti guru tidak ternilai. Ia bertepatan dengan Tema Hari Guru tahun ini, Guru Pembina Negara Bangsa.

Guru umpama kandil yang terang menyala, Suluh cahayanya penerang jalan, Sepatah kata dijadikan pelajaran, Segumpal pesan dijadikan pedoman, Ilmu dicurah mengorak alam terkembang.

Terima kasih guru.

YAB HAJI AHMAD RAZIF ABD RAHMAN
MENTERI BESAR TERENGGANU
16 Mei 2016 Bersamaan
9 Shaaban 1437 H

No comments